Pihak berkuasa menghentikan operasi mencari dan menyelamat mangsa runtuhan sebuah apartmen tujuh tingkat yang sedang dibina di pinggir bandaraya ini yang runtuh pada Khamis lalu.

Sehingga ini, 72 orang disahkan terbunuh termasuk 26 kanak-kanak.

Pihak berkuasa percaya angka kematian itu akan meningkat setelah usaha mengenal pasti mereka yang terlibat selesai.

Bangunan apartmen itu belum mendapat kelulusan untuk diduduki namun empat tingkat daripadanya telah dihuni oleh penduduk manakala proses pembinaan tiga tingkat lagi sedang berjalan.

Sehingga awal Sabtu, lebih 100 orang dilaporkan telah berjaya diselamatkan daripada runtuhan termasuk seorang budak perempuan berumur 10 bulan. Ibu bapa budak itu gagal ditemui.

Siasatan awal mendapati bangunan itu runtuh kerana bahan binaannya yang dikatakan tidak berkualiti.

Kerajaan negeri Maharashtra mengarahkan satu siasatan terperinci ke atas kejadian dan memecat pegawai kanan kerajaan dan seorang pegawai polis yang dipercayai cuai.