KERAJAAN Afrika Selatan memaklumkan akan mengimport 1.5 juta dos vaksin AstraZeneca untuk diberikan kepada petugas kesihatan negara itu.

Menurut Menteri Kesihatan Zwelini Mkhize, 1 juta dos pertama akan dihantar akhir bulan ini daripada Institut Serum India, diikuti tambahan 500,000 dos pada Februari.

"Afrika Selatan akan menerima satu juta dos vaksin bulan ini dan tambahan 500,000 pada Februari daripada Institut Serum India.

"Setakat ini, pihak kami dari Jabatan Kesihatan Nasional dan Pengawalseliaan Produk Kesihatan Afrika Selatan telah menyelaraskan semua peraturan dan proses regulasi untuk memastikan tidak ada penundaan yang tidak dijangka atau masalah regulasi semasa proses pengedaran," jelasnya. 

Negara itu menjangkakan mula menerima 24 juta dos vaksin buatan AstraZeneca.

Setakat ini, sistem rawatan kesihatan Afrika Selatan berdepan tekanan dengan kapasiti di hospital dilaporkan meningkat susulan peningkatan kes harian secara drastik.

Pada Rabu, 21,832 kes baharu dilaporkan dengan 844 kematian.

Peningkatan mendadak itu dilaporkan susulan penemuan varian baharu dalam kalangan kes baharu yang direkodkan.