COSTA Rica menjadi negara pertama di dunia yang mewajibkan vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak.

Suntikan itu jadi sebahagian suntikan vaksin wajib kanak-kanak seperti yang dikehendaki kerajaan.

Negara itu menandatangani perjanjian dengan pengeluar vaksin COVID-19 Pfizer untuk memperoleh dos bagi memulakan pemberian vaksin kepada semua kanak-kanak bawah 12 tahun mulai Mac 2022.

Awal minggu ini, badan kawal selia kesihatan Amerika Syarikat meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

Kebanyakan kanak-kanak kurang berisiko mendapat simptom teruk jika mereka mendapat COVID-19 namun masih boleh dijangkiti, walaupun tanpa gejala.

Vaksin itu didakwa membantu menghalang jangkitan dari kanak-kanak kepada golongan lain.

Sehingga kini, kira-kira 55 peratus orang yang layak telah diberi vaksin sepenuhnya di negara itu.

Keputusan Amerika Syarikat meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun telah membuka jalan kepada 28 juta individu di Amerika Syarikat untuk mendapatkan vaksin.

Mereka diberi suntikan dengan satu pertiga daripada dos yang diberikan pada orang dewasa.