Vaksin COVID-19: Jika berkesan, AS beri percuma kepada rakyat

Astro Awani
Ogos 14, 2020 02:03 MYT
Para penyelidik AS melakukan ujian dalam usaha membangunkan vaksin COVID-19 di sebuah makmal di Indianapolis, Mei 2020. (Foto AP)
JIKA vaksin COVID-19 terbukti berkesan, Amerika Syarikat (AS) akan memastikan ia diagihkan secara percuma kepada semua rakyatnya.
Pegawai Kanan Jabatan Kesihatan Paul Mango menegaskan, tiada jalan pintas berhubung keselamatan lebih-lebih lagi dalam soal serius seperti COVID-19.
Katanya, pihaknya akan menilai dan berharap dapat meluluskan vaksin tidak lama lagi.
Washington melaburkan lebih ASD10 bilion dalam enam projek vaksin dan menandatangani kontrak yang menjamin pengagihan ratusan juta dos, jika diluluskan, selepas ujian klinikal dilakukan.
Dos vaksin itu juga akan dibayar oleh kerajaan.
Doktor atau klinik yang menguruskannya harus dibayar, tetapi kos berkenaan sebahagian besarnya akan ditanggung oleh syarikat insurans swasta dan awam.
Dalam soal vaksin, kata Mango, kebanyakan syarikat insurans komersil bersetuju mengetepikan sebarang kos tambahan kepada pelanggan mereka.
Tambah beliau, AS berada di landasan tepat tepat untuk memberikan ratusan juta dos menjelang Januari 2021.
Sebelum ini, Pengarah Institut Kesihatan Nasional (NIH) Francis Collins berkata, beliau optimis sekurang-kurangnya satu daripada enam vaksin dilaburkan negara itu akan siap akhir tahun ini.
Pengkritik Presiden Donald Trump meluahkan kebimbangan pihak pentadbiran mungkin mengabaikan langkah keselamatan dalam mengumumkan vaksin sebelum pilihan raya pada 3 November ini.
Rusia minggu ini meluluskan vaksin walaupun sebelum permulaan fasa terakhir ujian klinikal, di mana ubat itu disuntik ke dalam puluhan ribu sukarelawan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya.
#Amerika Syarikat #AS #Donald Trump #jalan pintas #kerajaan #keselamatan #kesihatan #Paul Mango #percuma #pilihan raya #rakyat #Rusia #vaksin #Washington