Vaksin COVID-19: Jokowi selar tindakan negara kaya sekat bekalan

Astro Awani
April 7, 2021 22:42 MYT
Jokowi menegaskan vaksin perlu diedarkan secara adil tidak kira kepada negara miskin atau negara membangun. - Foto REUTERS
JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo menyelar tindakan negara-negara kaya yang menyekat bekalan vaksin COVID-19 dalam usaha menghentikan penularan pandemik itu.
Tegasnya, vaksin perlu diedarkan secara adil tidak kira kepada negara miskin atau negara membangun sekali pun jika ingin menyaksikan pandemik ini berakhir.
Beliau berkata demikian seperti dipetik menerusi portal Bloomberg.
Untuk rekod, lebih 700 juta dos bekalan vaksin telah diedarkan secara global dengan kebanyakannya diberikan kepada negara-negara kaya dan negara yang membangunkan vaksin tersebut.
Sebelum ini, Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan menyekat bekalan vaksin kepada beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom bagi menambah bekalan vaksin kepada populasi di kesatuan itu.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi inisiatif COVAX dalam usaha membekalkan vaksin kepada negara miskin berdepan kesukaran apabila tidak mempunyai dana yang mencukupi.
Bagi Indonesia, sekitar 13.5 juta dos vaksin sudah dieadarkan manakala lagi 20 juta dos vaksin berbanding 30 juta dijangka akan tiba pada Mac dan April.
Awal tahun ini, Jokowi meletakkan sasaran bagi kerajaannya untuk memberikan satu juta dos sehari bagi membentuk imuniti kelompok.
Setakat Mac, hanya lebih 780,000 dos diberi dan angka itu kemudian menurun kepada 500,000 sejak kebelakangan ini.
#COVID-19 #vaksin #Joko Widodo #Jokowi #bekalan #pandemik