DOS vaksin COVID-19 yang didaftarkan atau disuntik di seluruh dunia sehingga pagi Ahad melebihi 7.22 bilion.

Menurut data Johns Hopkins University, China kini mendahului dengan lebih 2.31 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.

Ini diikuti India dengan lebih satu bilion dos, manakala Amerika Syarikat dengan lebih 426 juta dos vaksin.

Brazil catat lebih 280 juta dos didaftarkan, sementara Jepun melebihi 191 juta.

Manakala Turki, Jerman dan Mexico catat angka melepasi 100 juta dos.

Di Asia Tenggara, Indonesia jauh di hadapan negara lain dengan mendaftarkan 203 juta dos.

Ini diikuti Thailand melebihi 79 juta, manakala Filipina 62 juta dan Malaysia melebihi 50 juta.

Singapura sudah melebihi 10 juta dos vaksin didaftarkan.