PARIS: Perancis merancang untuk memberikan suntikan penggalak COVID-19 kepada semua populasi dewasa di negara itu.

Ia sebagai sebahagian langkah untuk mengelakkan sekatan pergerakan dan perintah berkurung bagi memerangi jangkitan yang membimbangkan di negara berkenaan.

Jangkitan COVID-19 telah memuncak di Perancis sejak beberapa hari lalu dengan kes terbaharu setiap hari meningkat melebhi 30,000 kes.

Menteri Kesihatan, Olivier Veran membentangkan rancangan itu semasa sidang akhbar dengan mengumumkan pengurangan jarak masa antara dos kedua dan ketiga daripada enam kepada lima bulan.

Beliau berkata Perancis sudah mempunyai vaksin yang mencukupi untuk melancarkan dos penggalak di seluruh negara.

Veran juga menetapkan beberapa langkah termasuk penggunaan pelitup muka di kawasan awam.

Beliau menambah bahawa pas COVID-19 yang diperlukan di banyak lokasi tertutup di seluruh negara akan menjadi tidak sah jika seseorang itu tidak menerima dos penggalak dalam tempoh tujuh bulan selepas dos kedua.

Tambahnya, mereka yang tidak divaksin berisiko 10 kali ganda untuk dimasukkan ke hospital.