PENASIHAT Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat pada Selasa, sebulat suara menyokong penggunaan meluas vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech pada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Suntikan kepada golongan kanak-kanak itu dijangka bermula pada Rabu.

Kata penasihat CDC, faedah melebihi risiko vaksin tersebut.

Kebanyakan perbincangan mereka terarah kepada kes keradangan jantung yang jarang berlaku dikaitkan dengan vaksin terutamanya lelaki muda.

Pengarah CDC, Rochelle Walensky perlu menandatangani cadangan itu sebelum Amerika Syarikat boleh mula memberikan vaksin kepada kanak-kanak dalam kumpulan umur tersebut.

Jumaat lalu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat memberikan kebenaran penggunaan kecemasan vaksin pada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

BACA: Vaksin COVID-19: FDA lulus penggunaan Pfizer untuk kanak-kanak 5-11 tahun

FDA membenarkan dos 10 mikrogram vaksin Pfizer pada kanak-kanak kecil.

Dos asal yang diberikan kepada mereka yang berumur 12 tahun ke atas ialah 30 mikrogram.

Pada awal pertemuan Walensky berkata bahawa kemasukan ke hospital kanak-kanak telah meningkat semasa gelombang baru-baru ini yang didorong oleh varian Delta.

Jelasnya, risiko daripada COVID-19 terlalu tinggi dan terlalu teruk serta jauh lebih buruk daripada banyak penyakit lain yang diberi vaksin kepada kanak-kanak.

Walensky berkata penutupan sekolah mempunyai kesan kesihatan sosial dan mental yang memudaratkan kepada kanak-kanak.

Kerajaan Amerika Syarikat dan Pfizer telah mula mengedarkan vaksin itu sebagai persediaan untuk pelancaran meluas untuk kanak-kanak yang kebanyakannya kembali ke sekolah untuk pembelajaran secara bersemuka.

Awal minggu ini, White House berkata Amerika Syarikat mempunyai bekalan vaksin Pfizer-BioNTech yang mencukupi untuk semua 28 juta kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

Hanya beberapa negara lain, termasuk China, Cuba, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia setakat ini telah membenerkan penggunaan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak dalam kumpulan umur ini dan lebih muda.