PENTADBIRAN Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) beri kelulusan penuh kepada vaksin Pfizer-BioNTech untuk digunakan bagi remaja dalam kumpulan umur 12 ke 15 tahun.

Vaksin itu sebelum ini mendapat kelulusan kecemasan bagi kumpulan umur berkenaan sejak Mei 2021.

Menurut FDA, kelulusan penuh adalah susulan analisis ketat dan penilaian berkaitan keselamatan serta keberkesanan data.

Ogos lalu, vaksin berkenaan turut diluluskan untuk kumpulan umur 16 tahun dan ke atas.

FDA bulan lalu meminta pengeluar vaksin termasuk Pfizer dan Moderna, untuk mengubah struktur vaksin mereka bagi memasukkan komponen yang boleh menangani varian dominan ketika ini iaitu Omicron.

Setakat ini 67 peratus daripada keseluruhan populasi Amerika Syarikat sudah melengkapkan dos vaksin mereka.