WELLINGTON: New Zealand akan memperluaskan mandat vaksinasi COVID-19 termasuk terhadap ribuan pekerja yang dikategorikan sebagai kumpulan yang bekerja rapat dengan pelanggan termasuk di restoran, bar, gimnasium dan salon rambut.

Pelaksanaan mandat baharu itu bermakna kira-kira 40 peratus pekerja di negara itu perlu melengkapkan vaksinasi mereka atau berdepan risiko hilang pekerjaan.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern menegaskan pelaksanaan mandat baharu itu tidak melampaui batas kuasa kerajaan.

"Kerajaan sudah menetapkan mandat vaksinasi terhadap tenaga kerja dalam sektor penting yang berisiko dijangkiti COVID-19 termasuk mereka yang bertugas di sempadan, petugas kesihatan dan pastinya pendidikan.

"Dengan sistem baharu ini, operasi perniagaan yang berisiko tinggi seperti hospitaliti, salun rambut dan gimnasium boleh beroperasi di semua tahap sekiranya mereka mengesahkan sijil vaksinasi pelanggan.

"Dan berikutan itu, jika pelanggan perlu divaksinasi, begitu juga pekerja. Kita mahukan operasi perniagaan dibuka, pelanggan selamat dan pekerja juga selamat," katanya.

Jelasnya lagi, pelaksanaan mandat baharu itu memberikan kesaksamaan terhadap pelanggan dan pekerja selain memainkan peranan besar dalam mengekang penularan COVID-19 di premis perniagaan.

Pengumuman itu menyusul selepas kerajaan menyasarkan 90 peratus populasi berusia 12 tahun ke atas untuk melengkapkan vaksinasi mereka bagi menghentikan sekatan yang dikuatkuasakan kini.

Auckland, bandar terbesar di negara itu berada dalam perintah sekatan sejak lebih dua bulan lalu susulan penularan varian Delta.