PANEL penasihat kesihatan Amerika Syarikat menyokong penggunaan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech dengan dos berkurangan khas buat kanak-kanak.

Keputusan ini memungkinkan negara itu memulakan program vaksinasi terhadap kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun tidak lama lagi.

Panel penasihat Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) bersetuju sebulat suara, dengan hanya satu berkecuali, manfaat penggunaan vaksin itu melebihi risiko pada kumpulan berkenaan.

Ini termasuk kesan sampingan berkaitan jantung yang jarang berlaku dalam kalangan golongan remaja dan dewasa yang mendapat dos lebih tinggi.

FDA tidak terikat pada cadangan panel berkenaan dan dijangka membuat keputusannya sendiri dalam beberapa hari.

Jika FDA memberi kebenaran penggunaan dos berkurangan khas buat kanak-kanak ini, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) masih perlu membuat keputusan untuk mengesyorkan vaksin berkenaan dan golongan usia mana yang harus menerimanya.

Kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun berisiko rendah berdepan komplikasi akibat virus COVID-19 berbanding golongan usia lain namun tetap boleh berdepan jangkitan yang serius.

Di Amerika Syarikat, lebih 8,300 kes kemasukan hospital dilaporkan dengan satu pertiga daripada jumlah itu dimasukkan dalam unit rawatan rapi.

100 kes kematian juga dilaporkan dalam kalangan golongan tersebut.

Dos untuk golongan kanak-kanak ini adalah satu pertiga dos vaksin Pfizer yang diberikan kepada mereka berusia 12 tahun ke atas.

Moderna juga ketika ini sedang membuat kajian tentang dos vaksin keluaran khas buat kanak-kanak.