SYARIKAT farmaseutikal Pfizer-BioNTech dakwa vaksin COVID-19 keluarannya mampu tingkatkan tindak balas imun dalam kalangan kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun.

Sehubungan itu, ia merancang mohon kelulusan penggunaan vaksin ke atas kanak-kanak daripada pihak berkuasa kesihatan di Amerika Syarikat, Eropah dan negara lain secepat mungkin.

Menurut syarikat itu, vaksin Pfizer menjana tindak balas imun, dalam kajian klinikal fasa dua dan tiga.

Hasil dapatan ini menyamai pemerhatian yang dibuat ke atas kumpulan berusia 16 ke 25 tahun.

Ia berpendapat hasil kajian ini sebagai asas kukuh untuk memohon kelulusan penggunaan bagi kanak-kanak.

Sejak Julai, kes pediatrik COVID-19 di Amerika Syarikat meningkat 240 peratus.

Vaksin Pfizer-BioNTech sudah mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA), untuk penggunaan bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas bulan lalu.

Kelulusan kecemasan disifatkan mampu jadi langkah mitigasi bagi potensi peningkatan kes, susulan pembukaan semula sekolah.