Filipina mendedahkan vaksin anti-denggi yang dikenali sebagai Dengvaxia mungkin ada kaitan dengan tiga kematian terbaharu di negara itu.

Menurut siasatan yang dijalankan kerajaan mendapati vaksin terbabit masih belum boleh digunakan sepenuhnya bagi menangani virus denggi.

Kementerian Kesihatan Filipina telah menghentikan imunisasi Dengvaxia bermula November tahun lalu.

Susulan itu kerajaan telah membentuk kumpulan 10 ahli panel untuk menentukan sama ada vaksin atau dadah tersebut berkait secara langsung atau tidak dengan kematian 14 kanak-kanak.

"Tiga kes didapati mempunyai kaitan sebab mereka meninggal dunia akibat denggi walaupun mereka diberi Dengvaxia.

"Dua daripadanya mungkin mati akibat kegagalan vaksin," jelas Setiausaha Kementerian Kesihatan, Enrique Domingo.

Sebelum ini syarikat farmaseutikal terkemuka dunia Sanofi yang berpangkalan di Perancis pada November mendedahkan vaksin denggi terbabit berisiko meningkatkan gejala kepada pesakit.

Namun pada 2016 terdapat lebih 800,000 kanak-kanak di Filipina telah diberikan vaksin terbabit.

Menurut rekod yang dikeluarkan kadar kematian akibat denggi di Filipina adalah 60 kali ganda lebih tinggi daripada kadar global.