SYDNEY: Dua negeri paling ramai penduduk di Australia mencatat pertambahan kes COVID-19 pada Khamis.

New South Wales melaporkan sebanyak 681 kes dalam tempoh 24 jam yang lalu dengan kebanyakannya di Sydney sementara Victoria melaporkan 57 kes baru, jumlah harian tertinggi di negeri itu sejak awal September lalu.

Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian memaklumkan, kebanyakan kes baharu itu telah dikuarantin ketika jangkitan.

"Saya tahu ini adalah waktu yang mencabar, tetapi saya juga dapat melihat cahaya di hujung terowong. Ini adalah masa yang sukar bagi kita semua, dan beberapa minggu ke depan akan menjadi sukar.

"Tetapi ketahuilah bahawa selepas kita mendapat kadar vaksinasi yang tinggi hidup akan terasa jauh lebih baik, hidup akan kelihatan lebih rapi," katanya.

Meskipun begitu, menurut Berejiklian buat masa ini rakyatnya perlu belajar untuk 'hidup' dengan kehadiran varian Delta.

"Dan saya menghargai apa yang sedang kita lalui tetapi setiap negeri di Australia harus bersetuju dengan kenyataan bahawa apabila anda mencapai tahap vaksinasi tertentu varian Delta tetap akan hadir.

"Kita tidak boleh berpura-pura bahawa kita akan mencapai sifar kes di seluruh Australia dengan adanya varian Delta. Seperti yang dikatakan dalam laporan Doherty, setelah anda mendapat 80% dos lengkap anda harus bersifat terbuka, semua orang perlu belajar hidup dengan varian Delta.

"Di New South Wales, kita belajar mengenai hal itu lebih awal daripada yang lain," katanya.

Melbourne dan seluruh New South Wales berada dalam kebuntuan ketika pihak berkuasa berusaha untuk menghentikan penyebaran jangkitan.

Ini merupakan kali keenam Melbourne melaksanakan perintah berkurung dan Khamis menandakan hari ke-200 bandar raya kedua terpadat di Australia itu dikurung.

Sementara itu di Sydney, seorang lelaki berusia 80-an meninggal dunia pada Rabu, menjadikan angka kematian di New South Wales susulan varian Delta meningkat kepada 61 kes.