LONDON: Pihak berkuasa kesihatan Britain sahkan sembilan lagi kes varian COVID-19 Omicron dikesan di England dan satu di Scotland.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan ialah 32 kes.

Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) berkata, setakat ini, 22 kes varian Omicron dikenalpasti di England dan 10 di Scotland.

Setiausaha Kesihatan UK, Sajid Javid berkata, kemungkinan besar lebih banyak kes ditemui dalam beberapa hari akan datang, sebagaimana dilihat di negara lain di seluruh dunia.

Katanya, ketika ini pihaknya meningkatkan pengesanan kes melalui pengesanan kontak secara berfokus.

Justeru itu katanya, adalah penting bagi sesiapa yang mempunyai simptom COVID-19 mengasingkan diri dan melakukan ujian PCR dengan segera.

Angka rasmi sehingga khamis mendedahkan, britain mencatatkan 48,374 kes jangkitan baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes koronavirus di negara itu kepada 10,276,007.

Britain juga melaporkan 171 lagi kematian berkaitan koronavirus.

Jumlah kematian berkaitan COVID-19 di Britain kini mencecah 145,140 orang.

Angka itu hanya melibatkan kematian orang yang meninggal dunia dalam tempoh 28 hari selepas ujian positif pertama mereka.

Terkini, lebih 88 peratus penduduk berusia 12 tahun ke atas di Britain sudah menerima dos pertama vaksin dan lebih 80 peratus menerima dua dos.

Lebih 32 peratus menerima suntikan penggalak, atau dos ketiga.