TIDAK kira orang biasa atau keturunan raja, adakalanya perkara kecil juga boleh membuatkan seseorang itu hilang sabar.

Sebuah video yang memaparkan Raja Britain, Raja Charles III 'naik angin' apabila pen yang digunakan tidak berfungsi dengan baik, mendapat perhatian warganet.

Baginda kelihatan bingung apabila melihat dakwat pen menitik ketika hendak menandatangani buku tetamu pada akhir lawatannya di kediaman diraja Istana Hillsborough, Ireland Utara.

Dapat didengari dengan jelas Charles mengadu tentang pen itu kepada pembantunya sambil cuba menghilangkan kesan dakwat pada jarinya dengan marah.

"Tuhan, saya benci [pen] ini", Charles berkata, sambil menyerahkan pen itu kepada isterinya, Permaisuri Camilla.

Camilla kemudian memaklumkan kepada suaminya bahawa pen itu bocor dan meminta pembantu segera menukarkan dengan yang baharu.

Apa yang menggelikan hati warganet ialah kejadian sama berlaku beberapa hari lalu semasa upacara pertabalan Charles sebagai raja, di mana baginda dilihat memberi isyarat marah kepada salah seorang pembantunya kerana pen yang digunakan bermasalah.

Pasangan diraja itu melawat Ireland Utara dalam siri lawatan terbaharu di United Kingdom selepas kematian bondanya, Ratu Elizabeth II, minggu lalu.