Tahap kesedaran penduduk di Arab Saudi mengenai pencegahan Virus MERS-CoV masih rendah.

Ia berdasarkan pemerhatian Penyunting Berita Astro AWANI, Muhammad Harris Muhammad Ghazali di Madinah di mana kebanyakan rakyat di sana tidak mengamalkan langkah pencegahan.

Muhammad Harris yang kini berada di tanah suci untuk menunaikan umrah berkata, langkah-langkah pencegahan hanya diambil syarikat agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah.

"Setelah beberapa hari saya berada di sini, keadaan kelihatan seperti biasa. Orang tempatan tidak dilihat memakai topeng muka, yang ada cuma beberapa jemaah dari Malaysia sahaja yang memakai topeng muka,” kata Harris.

Jelas Harris, lawatan ke ladang ternakan unta seperti di dalam aturacara dibatalkan.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, tiada risalah atau pengumumkan dibuat oleh kerajaan Arab Saudi mengenai status penyakit itu, serta langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil.

"Semasa saya sampai di hotel tiada makluman daripada pihak hotel. Mereka juga tidak mengedarkan risalah mengenai virus ini mahupun menyediakan sanitizer untuk memastikan kebersihan. Hanya pihak agensi sahaja yang memaklumkan mengenai virus ini secara umum bahawa ia kini sedang melanda Arab Saudi,” tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, ancaman virus MERS-CoV tidak menjejaskan ibadah dan perjalanan umrahnya serta anggota rombongan lain.