BOGOTA: Seorang wanita berumur 48 tahun dilaporkan maut selepas tercekik gigi palsu ketika sedang tidur, lapor portal Oddity Central.

Sebelum ini, doktor beberapa kali menasihatkan Maria Farias Guzman supaya mengelakkan memakai gigi tersebut semasa tidur bagi mengelakkan sesuatu buruk bakal berlaku.

Bagaimanapun, nasihat diberikan kepada wanita berasal dari wilayah Armenia diibaratkan bagai 'mencurah air atas daun keladi'.

Semasa kejadian, Guzman tidur dan tidak menanggalkan gigi itu dan pada masa sama dia tertelan dan tersangkut di kerongkongnya.

Menceritakan lanjut, keluarga wanita itu memberitahu pegawai penyiasat bahawa mereka terdengar bunyi pelik dari bilik tidurnya dan apabila bergegas ke sana (bilik tidur Guzman) dia didapati mengalami kesukaran bernafas.

Kemudian, keluarganya membawa wanita itu ke Hospital del Sur di bandar Qiundio di mana doktor berusaha mengeluarkan gigi tersebut.

Malangnya, usaha doktor tidak berjaya dan Guzman disahkan meninggal dunia akibat kerongkong tersumbat dengan gigi palsu.

"Saudara-mara mangsa menyedari kejadian semasa Guzman sedang tidur dan selepas tiba di hospital, dia kelihatan tidak melakukan sebarang tindak balas semasa doktor sedang berusaha membuang gigi itu dari kerongkongnya," kata pegawai polis, William Alberto Zubieta Pardo dari Jabatan polis Quindio yang memberitahu wartawan. -Sinar Harian/Agensi