Wanita Pakistan ambil masa 32 tahun sulam al-Quran

Bernama
April 8, 2019 15:38 MYT
Mereka yang menziarahi Kota Madinah berpeluang melihat sendiri sulaman Nasim di Pusat Pameran Al-Quran Al-Karim yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi. - Gambar hiasan
Umat Islam sememangnya digalak menzahirkan perasaan cinta dan sayang mereka kepada al-Quran melalui pelbagai cara termasuk membaca, menghafal dan mengamalkan kandungan kitab suci itu.
‏Tidak mahu ketinggalan, seorang wanita Pakistan, Nasim Akhtar, 63, menghabiskan masa kira-kira 32 tahun menulis dan menyulam al-Quran 30 juzuk menggunakan tangan.
‏“Nasim yang berasal dari wilayah Punjab memulakan proses menulis dan menyulam al-Quran itu pada Ogos 1987 ketika berusia 30 tahun dan berjaya menyiapkannya pada Januari 2018,” kata Pegawai Penerangan Pusat Pameran Al-Quran Al-Karim di Madinah, Ahmad Zaki Amin.
‏Beliau berkata Nasim menghadiahkan hasil kerjanya itu kepada pusat berkenaan pada 21 Sept tahun lepas untuk dipamer kepada orang ramai.
‏ “Wanita ini (Nasim) mengambil masa 15 tahun pertama untuk menulis ayat al-Quran di atas kain menggunakan dakwat sebelum menyulamnya selama 17 tahun berikutnya.
‏“Al-Quran ini mempunyai sepuluh jilid dengan anggaran berat 55 kilogram serta mengandungi tiga juzuk setiap jilid,” katanya kepada Bernama pada Ahad di sini.
‏Zaki berkata proses sulaman al-Quran itu membabitkan kira-kira 300 meter kain dan 25,000 meter benang.
‏Beliau berkata Nasim hanya akan melakukan proses itu ketika suci daripada haid dan pada waktu sepertiga malam terakhir.
‏Mereka yang menziarahi Kota Madinah berpeluang melihat sendiri sulaman Nasim di Pusat Pameran Al-Quran Al-Karim yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi.
Ia beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.
‏Pameran itu turut menampilkan pelbagai sejarah penulisan al-Quran dan usaha kerajaan Arab Saudi dalam menjaga kesucian serta keagungan kitab tersebut.
-- BERNAMA
#Al-Quran #Arab Saudi #Islam #Madinah #Masjid Nabawi #menyulam #Pakistan #pameran #Pusat Pameran Al-Quran Al-Karim #Sulaman #wanita #wanita Pakistan