SEOUL: Kementerian Kehakiman Korea Selatan mengekstradisi seorang wanita ke New Zealand selepas dia ditahan berhubung penemuan mayat dua anaknya dalam beg pakaian awal tahun ini.

Warganegara New Zealand berketurunan Korea berusia 42 tahun itu, yang dikenal pasti dengan nama keluarganya Lee, diserahkan kepada pihak berkuasa New Zealand pada petang Isnin di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, bersama-sama bukti yang dirampas oleh polis, lapor agensi berita Yonhap yang memetik pegawai kementerian kehakiman.

Lee ialah suspek utama dalam kematian dua anaknya, yang mayat mereka ditemui dalam beg pakaian yang dijual di lelongan di Auckland pada Ogos. Polis Korea Selatan menahannya di tenggara bandar Ulsan pada pertengahan September atas permintaan polis New Zealand.

Awal bulan ini, mahkamah Seoul meluluskan ekstradisi ke atas suspek, lapornya.

Antarabangsa | Ibu ditahan di Korea Selatan, diekstradisi ke New Zealand


Kanak-kanak itu yang masing-masing berusia 7 dan 10 tahun dipercayai dibunuh pada 2018. Media tempatan melaporkan bapa mereka meninggal dunia akibat kanser sebelum kedua-dua kanak-kanak itu dibunuh.

-- BERNAMA