Warga Singapura terkejut 'Kim Jong Un' muncul bersiar-siar bawa durian

Nuradilla Noorazam
Mei 28, 2018 14:39 MYT
Howard yang berketurunan Australia-China menyaramr sebagai Kim Jong Un, sambil membawa durian dan sebungkus nasi ayam di Merlion Park, Singapura. - Reuters
Kehangatan sidang kemuncak yang bakal berlangsung antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un semakin dirasai oleh masyarakat di negara tuan rumah, Singapura.
Walaupun status sidang kemuncak itu masih lagi dalam perbincangan akibat tindakan Trump yang mahu membatalkan perjanjian bersama Korea Utara, seorang pelawak telah menyamar sebagai Kim Jong Un dan berlegar-legar di lokasi sidang puncak tersebut pada Ahad.
Tindakan penyamar itu menyebabkan ramai penduduk Singapura geli hati dan mengambil gambar bersamanya sambil berjabat tangan.
Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Howard X telah berjalan-jalan di pusat bandar Singapura. Jelasnya, beliau membuat tindakan berkenaan kerana mahu sidang kemuncak antara dua pemimpin dunia itu berlangsung seperti yang dirancangkan.
Pertemuan bersejarah tersebut dijadualkan pada 12 Jun di pulau republik itu.
Minggu lalu, Trump mengumumkan keputusan beliau untuk menarik diri dari menghadiri sidang tersebut sambil menuduh Korea Utara bertanggungjawab menunjukkan kemarahan melampau dan permusuhan.
Sehari kemudian, Presiden AS itu memberi bayangan bahawa sidang tersebut masih akan diteruskan. Manakala pada Ahad, Trump berkata wakil AS sudah bertemu dengan pegawai Korea Utara untuk menjalankan gerak kerja persiapan sidang tersebut.
#Amerika Syarikat #Donald Trump #howard x #Kim Jong Un #Korea Utara #Singapura