PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) sedang bekerjasama dengan Yayasan Bill dan Melinda Gates dan organisasi bukan berasaskan keuntungan lain bagi memulihkan penurunan dalam vaksinasi rutin terhadap golongan kanak-kanak.

Penurunan vaksinasi rutin dalam golongan tersebut didorong oleh pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak hujung tahun 2019.

Inisiatif dilancarkan oleh WHO, UNICEF, Pakatan Vaksin Gavi dan Yayasan Bill dan Melinda Gates itu antara lain berusaha untuk melindungi negara-negara daripada wabak penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin seperti campak dan demam kuning.

Usaha itu akan memberi tumpuan kepada meningkatkan kadar vaksinasi di 20 negara yang menyumbang 75 peratus daripada kanak-kanak yang terlepas vaksinasi pada tahun 2021.

Menurut Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, pihaknya menyokong puluhan negara untuk memulihkan imunisasi dan perkhidmatan kesihatan penting lain.

Pemulihan semula adalah keutamaan dan katanya tiada kanak-kanak perlu maut akibat penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin.

Kadar vaksinasi pada kanak-kanak menurun semasa COVID-19 melanda disebabkan oleh klinik yang terbeban, sekatan penutupan dan gangguan dalam pengangkutan vial, picagari dan bekalan perubatan lain.

Menurut WHO, 25 juta kanak-kanak di bawah umur 1 tahun tidak menerima vaksin asas pada 2021 dan liputan imunisasi global untuk kanak-kanak menurun kepada 81 peratus pada tahun itu daripada 86 peratus pada tahun 2019.

Menurut laporan dari UNICEF minggu lalu, orang ramai di seluruh dunia hilang keyakinan terhadap kepentingan vaksin rutin kanak-kanak untuk mencegah penyakit pembunuh seperti campak dan polio semasa wabak COVID-19.