PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan akan mengakhiri kecemasan kesihatan awam global yang berlarutan selama 10 bulan untuk penyakit mpox, lapor Reuters pada Jumaat.

Organisasi itu mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global pada Julai 2022 dan menyokong pendiriannya pada November dan Februari.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengisytiharkan tamatnya status kecemasan bagi penyakit itu berdasarkan saranan jawatankuasa kecemasan organisasi itu, yang bermesyuarat pada Khamis.

Tindakan itu memberi isyarat bahawa krisis akibat mpox, yang merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair badan dan menyebabkan simptom seperti selesema dan lesi kulit yang dipenuhi nanah, telah terkawal.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Kecemasan WHO mengenai Mpox, Nicola Low, berkata terdapat keperluan untuk beralih kepada strategi untuk menguruskan risiko kesihatan awam jangka panjang akibat mpox daripada bergantung pada langkah kecemasan.

Menurutnya, peralihan itu termasuk tindak balas dan kesiapsiagaan mpox di bawah program pengawasan penyakit kebangsaan seperti HIV dan jangkitan kelamin lain.

Kes didapati telah menurun lebih 90 peratus dalam tempoh tiga bulan lalu, berbanding kes dalam tempoh yang sama sebelum itu, kata ketua WHO.

Menurut laporan terbaru WHO, lebih 87,000 kes mpox telah disahkan di seluruh dunia dari awal 2022 hingga 8 Mei tahun ini, yang dikesan  di lebih seratus negara.

WHO berkata ia amat mengambil berat tentang negara-negara Afrika yang telah berdepan dengan mpox lama sebelum ia menjadi wabak global, dan boleh terus menanganinya untuk beberapa waktu akan datang.

WHO baru-baru ini juga mengisytiharkan penamatan status darurat kesihatan global untuk COVID-19.

"Walaupun kecemasan mpox dan COVID-19 kedua-duanya sudah berakhir, ancaman gelombang kebangkitan kekal untuk kedua-duanya. Kedua-dua virus terus tersebar dan kedua-duanya terus membunuh," kata Tedros.