SINGAPURA: Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura akan diperbesar dengan membangunkan kawasan sehingga Pusat Bandar Old Woodlands seperti yang dirancang sebelum ini.

Channel NewsAsia melaporkan, projek yang diumumkan pada Khamis (26 Mei) itu akan melibatkan pengambilan semula beberapa pangsapuri Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Pihak berkuasa menyatakan jumlah kenderaan di Woodlands Checkpoint meningkat mencecah 40 peratus menjelang tahun 2050. Itu bermakna purata harian sebanyak 400,000 pengembara akan memenuhi jalan berbanding sebelum tempoh pandemik.

“Jika kapasiti pelepasan keseluruhan tidak ditingkatkan, masa perjalanan bagi trafik akan bertambah lebih 60 hingga 70 peratus pada waktu puncak menjelang 2050,” ujar Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Pihak Berkuasa Darat Singapura (SLA) dan HDB dalam satu kenyataan media.

Untuk memperbesarkan Woodlands Checkpoint, tujuh buah blok yang terdiri daripada lebih 730 unit pangsapuri yang terjual – Blok 212 hingga 218 Marsiling Crescent/Lane – akan diambil semula dan diberi pampasan berdasarkan nilai pasaran unit masing-masing.

Mereka (pemilik kediaman) juga akan diberi pilihan untuk membeli pangsapuri baharu dengan status pemilikan 99 tahun yang baharu, pada harga yang disubsidi.

Penghuni blok-blok yang terdiri daripada pangsapuri sewaan, kiosk sewaan, kedai sewaan dan kedai makan sewaan, juga akan mendapat manfaat penempatan serta pemindahan semula.

Penghuni dan penyewa akan diminta mengosongkan bangunan pada penggal kedua 2028, kata Pengarah Projek dan Pembangunan HDB, Ng Hwee Yian.

Matlamat pembesaran kompleks Woodlands Checkpoint adalah untuk mengawal kesesakan lalu lintas dan menjadikannya lebih relevan buat masa hadapan.

Projek pembesaran itu akan melibatkan lorong pelbagai yang boleh memproses pelepasan kereta dan motosikal, serta mengurangkan masa perjalanan sehinggga empat kali ganda. Itu bermakna, pelepasan hanya mengambil masa 15 minit, berbanding 60 minit ketika waktu puncak.