Perdana Menteri Sementara Thailand Yingluck Shinawatra mengumumkan satu inisiatif bagi menubuhkan Majlis Reformasi Nasional (NRC) sebelum akhir tahun ini, seperti yang dituntut kumpulan pembangkang.

Bagaimanapun, tindakan itu mungkin tidak memuaskan hati kumpulan berkenaan terutama Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC) dan pemimpinnya, Suthep Thaugsuban, yang mahukan perubahan dibuat sebelum pilihan raya umum pada 2 Feb 2014.

Menurut satu kenyataan, Yingluck berkata NRC bukan satu forum kerajaan dan pembentukannya adalah berdasarkan maklum balas pelbagai forum yang diadakan sejak dua minggu lepas.

Beliau berkata jika semua pihak bersetuju, kerajaan hanya akan menubuhkan NRC melalui satu perintah daripada Pejabat Perdana Menteri dan akan disahkan oleh Kabinet bagi memastikan proses itu boleh bermula dengan segera.

Yingluck turut menggariskan satu format bagi pembentukan NRC, yang bertujuan menyediakan peruntukan bagi pertukaran perbincangan dan dialog dari setiap sektor.

Kerajaan akan menyusun komen dan cadangan untuk penambahbaikan dan pengeluaran arahan (bagi tujuan pembentukan) sebelum akhir tahun ini, katanya.

Beliau berkata pemilihan anggota NRC akan bermula dengan pengambilan 2,000 wakil dari pelbagai profesion yang akan memilih 499 anggota majlis itu.

Kelayakan, kriteria, kaedah aplikasi, pengambilan dan pelantikan wakil kumpulan profesional selain pemilihan anggota NRC akan ditentukan panel 11 anggota sebuah suruhanjaya, katanya.

Yingluck juga berkata antara tanggungjawab NRC ialah mengkaji dan menyediakan cadangan untuk meminda Perlembagaan, yang mungkin melibatkan penyediaan draf pindaan; mengkaji dan menyediakan cadangan untuk penstrukturan semula ekonomi dan sosial negara serta mengkaji dan menyediakan cadangan berhubung penglibatan rakyat dalam pentadbiran awam.

Anggota NRC juga bertanggungjawab mengkaji dan menyediakan cadangan untuk pindaan atau pembatalan undang-undang, kaedah, peraturan atau perintah bagi memastikan keadilan dan ketelusan pilihan raya di setiap peringkat, pemilihan dan pelantikan seseorang untuk mengisi pelbagai jawatan, penggunaan kuasa kerajaan serta pemeriksaan terhadap penggunaan kuasa berkenaan.

Satu lagi tugas ialah mengkaji dan menyediakan cadangan bagi menyekat dan membanteras rasuah dan salah laku dalam agensi awam, sama ada oleh pegawai politik atau pegawai tetap.