LOS ANGELES: Dalam usaha mengekang maklumat dan sumber tidak tepat, platform YouTube bakal melabel video berkaitan maklumat kesihatan yang boleh dipercayai bermula awal tahun 2023.

Lapor agensi berita antarabangsa, Pengurus merangkap Ketua Global YouTube Health, Garth Graham dalam pengumuman pada Selasa memaklumkan format baharu penggunaan label akan memudahkan pengguna mengklasifikasi sumber asal video berkaitan pencarian kesihatan.

Dalam pada itu, Jerman menjadi negara pertama memperkenalkan YouTube Health. 

“Sumber yang boleh dipercayai” berhubung topik berkaitan kesihatan adalah penting untuk YouTube yang kini mempunyai lebih daripada 2 bilion pengguna di seluruh dunia,” kata Graham.

Terdahulu, YouTube menerima kritikan disebabkan memberi ruang kepada sumber tidak diiktiraf menyampaikan maklumat kesihatan meragukan dan tidak sahih.

Pada pertengahan 2020, Suruhanjaya Eropah memberi amaran mengenai penyampaian maklumat palsu di YouTube dalam kempen memerangi maklumat salah berkaitan pandemik.

Kandungan daripada saluran memiliki label kesihatan akan diberi keutamaan ketika pengguna mencari topik berkaitan. Dalam masa sama, usaha ini membolehkan saluran mencapai jumlah tontonan yang disasarkan.

Sementara itu, badan yang boleh memohon label antaranya institusi kesihatan, institusi pendidikan, jabatan kesihatan, organisasi kerajaan dan jurnal perubatan untuk kemasukan bermula 27 Oktober ini.

Untuk pemilihan sumber maklumat kesihatan yang dipercayai, YouTube merujuk kriteria kandungan yang disahkan oleh pertubuhan bukan kerajaan Akademi Perubatan Amerika Syarikat (NAM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. - Agensi