Bakal pembeli rumah di Sarawak diminta tidak terpedaya dengan dakwaan pemaju bahawa harga hartanah akan meningkat susulan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (CBP) pada April tahun depan.

Menteri Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata pembeli tidak akan dibebankan dengan CBP berkadar enam peratus itu kerana pemaju bakal menikmati potongan cukai input bagi bahan pembinaan yang mereka guna.

"Mereka memang perlu membayar CBP bagi bahan tersebut, tetapi pada akhir rantaian (proses pembinaan), pemaju boleh membuat tuntutan semula CBP terhadap bahan yang dibeli," katanya pada sidang media, di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kemungkinan berlaku pembelian tergesa-gesa disebabkan kebimbangan harga rumah melambung seperti diuar-uar oleh pemaju.

"Harga tidak boleh lebih tinggi daripada harga sekarang. Pada masa ini anda membayar 10 (peratus cukai kerajaan) campur enam (peratus cukai jualan). Jika ia (CBP) pada enam peratus, harga patut lebih rendah. Itu baru logik," katanya.

Abang Johari berkata kementeriannya akan menganjurkan seminar khusus mengenai CBP bagi semua pihak berkepentingan pada 20 Jan depan, bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai implikasi cukai tersebut.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan telah mewujudkan mekanisme bagi menampung keperluan perumahan jika penawaran tidak dapat memenuhi permintaan.

Beliau berkata dua anak syarikat kementeriannya, Daya Builders Sdn Bhd dan Mutiara Mortgage and Credit, masing-masing akan memainkan peranan sebagai pemaju perumahan dan pemudah cara pembiayaan.

Menurutnya pendekatan itu juga bertujuan mewujudkan persaingan dengan pemaju swasta yang dipacu keuntungan dalam melaksanakan projek perumahan.

"Syarikat (Daya Builders) tidak terlalu bertujuan membuat keuntungan kerana objektif utama ialah menyediakan perumahan berkualiti dan mampu milik untuk rakyat," kata Abang Johari.

Beliau juga berkata Ordinan Pembangunan Perumahan Sarawak (Kawalan dan Pelesenan) 2013 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri pada 2013 akan dikuat kuasa 1 Nov ini.

Beliau berkata undang-undang baharu itu akan mempertingkat perlindungan terhadap hak dan kepentingan pembeli rumah termasuk dalam isu projek terbengkalai.