Jabatan Kastam Diraja Malaysia memberi jaminan bahawa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah satu cukai yang bersifat adil, telus dan berkesan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata berbanding Cukai Perkhidmatan Dan Jualan (SST) sebelum ini, melalui pelaksanaan GST, pengguna kini dapat mengetahui jenis cukai yang dibayar serta jumlahnya.

Khazali membayangkan apa yang boleh dijangka pada 1 April nanti adalah urusan perniagaan masih berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, sistem cukai kepenggunaan akan digantikan dengan sistem yang lebih baik.

"Kita memang dah terbiasa dengan cukai kepenggunaan secara sedar atau tidak sedar. Tetapi rasanya ramai orang tidak sedar kita sudah ada cukai kepengunaan."

"Jadi apabila GST dilaksanakan, ia lebih telus, orang tahu sekarang perbelanjaan kita adalah tertakluk kepada cukai kepengunaan sedangkan sebelum ini orang tidak tahu pun dia bayar cukai," kata Khazali kepada pemberita selepas majlis pelancaran set panduan GST oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Ibu Pejabat Jabatan Kastam di Kelana Jaya.

Jelasnya lagi, Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) yang dikenakan ketika ini mempunyai banyak kelemahan seperti cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat yang menjadi punca harga sesetengah barangan dan perkhidmatan menjadi mahal.

"Sepertimana cukai seperingkat ini, apabila kita bayar dan kemungkinan berlaku, malah sebenarnya kita sudah ada bukti bahawa berlakunya kesan cukai berganda."

"Kadang kala cukai yang dikenakan 10% itu boleh mencapai 16% hingga 18% sebab berlaku tambahan cukai atas cukai yang dikenakan pada peringkat awal. Jadi kita mahu memperkenalkan cukai yang lebih berkesan dan telus," katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Kastam akan menambah 1,600 pegawai baharu bagi memantau pelaksanaan GST supaya lebih telus.

"Kerajaan telah memutuskan untuk menambah jawatan dan separuh daripadanya telah diambil dan kita masih dalam proses pengambilan lagi pegawai untuk penuhi apa diluluskan kerajaan."

"Anggaran lebih kurang 1,600 jawatan baru diluluskan kerajaan," kata Khazali.