Lebih 600 pawagam di seluruh China yang baru beberapa hari dibuka semula, diarahkan kembali ditutup.

Biro Filem Beijing mengarahkan semua pawagam ditutup namun tidak memberikan penjelasan mengapa arahan itu dikeluarkan, lapor The Hollywood Reporter.

Bagaimanapun, ada laporan mengatakan tindakan itu dilaksanakan kerana kebimbangan mengenai gelombang kedua wabak COVID-19 di negara tersebut.

Sebanyak 70,000 pawagam di China ditutup sejak Januari akibat wabak berkenaan yang telah mengorbankan lebih 25,000 nyawa di seluruh dunia.

Malah pawagam juga tidak dibuka pada hujung minggu Tahun Baru Cina, yang biasanya mencatatkan antara penonton paling ramai di rantau Asia.

Media melaporkan industri perfileman di China kerugian hampir AS$2 bilion dalam dua bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.