KUALA LUMPUR: Baru-baru ini para peminat Aina Abdul menjadi tidak keruan selepas penyanyi pujaan mereka itu telah memuat naik sebuah video pendek di akaun Instagram miliknya.

Video yang menggunakan nama sendiri penyanyi yang berasal dari Negeri Sembilan itu difahamkan merupakan judul lagu terbaharu tersebut.

Ramai sebenarnya yang berteka-teki mengenai mesej yang cuba disampaikan menerusi lagu terbaharu penyanyi yang berusia 28 tahun itu.

Sehubungan itu, Astro AWANI cuba mendapatkan sendiri penyanyi yang pernah mencetuskan kontroversi tahun lalu itu bagi merungkai mengenai segala persoalan tersebut.

Jujur kepada semua, Aina Abdul mendedahkan mengenai kesukaran dirinya memilih tajuk yang sesuai dengan lagu baharu itu.

“Emosi yang cuba saya sampaikan melalui lagu kali ini adalah apa yang Aina rasa, jadi semasa saya buat lagu ini saya tidak dapat fikirkan perkataan lain untuk dijadikan sebagai judul.

“Jadi, saya mengambil keputusan menggunakan nama saya sebagai judul dan menjadikan ia sebagai simbolik mengenai diri saya dan apa yang saya rasa.

“Pastinya, saya amat berharap semua orang khususnya para peminat saya akan menyukainya,” kata Aina.

Pada masa sama, Aina yang turut popular dengan lagu Kelip-Kelip ini mengakui lagu baharunya itu ‘cukup berat’ terutama dalam menzahirkan emosi.

Manakan tidak, katanya lagu itu merupakan gabungan tiga buah lagu yang pernah dinyanyikannya sebelum ini iaitu Sumpah, Semalam dan Sepi.

“Sebenarnya lagu ini adalah gabungan tiga buah lagu saya yang terdahulu dan saya susun semula menjadikan ia sebuah lagu baharu.

“Ia sama sekali tidak sama seperti gabungan lagu Maybe dan Kelip-kelip kerana itu digabung hanya untuk muzik video, tapi lagu Aina Abdul ini memang saya susun semula dan menjadi sebuah lagu baharu.

“Saya akui, apabila mendengar lagu ini nanti para peminat akan terbawa-bawa dan merasai juga emosi lagu-lagu Aina yang terdahulu dalam sebuah lagu,” jelasnya.

Menurut Aina, lagu baharu itu sepatutnya dilancarkan lebih awal tetapi terdapat beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan, akhirnya dia memilih hari ini iaitu 16 September sebagai tarikh pelancaran lagu tersebut.

Ujarnya, muzik video yang dilancarkan itu juga hanya mengambil masa dua hari untuk rakaman.

Lagu Aina Abdul kini boleh didengari di semua platform muzik sosial.