KUALA LUMPUR: Ogos tahun lalu, kesihatan penyanyi ternama tanah air, Datuk Aishah, 57, diuji apabila beliau disahkan positif wabak COVID-19.

Selang beberapa bulan, penghibur yang sangat terkenal dengan lagu Janji Manismu itu sekali lagi diduga dengan penyakit yang sama.

Ditakdirkan positif buat kali kedua, tiada apa lagi yang boleh disimpulkan Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin selain menerima ketentuan takdir dengan terbuka.

"Assalamualaikum semua. Ini baru betul-betul ketentuan takdir. Hari itu, selepas menerima suntikan dos penggalak, saya diminta Presiden Aishah FC, Dr Nazlin buat ujian saringan.

"Hari pertama keadaan saya baik-baik sahaja. Namun, selepas membuat ujian menerusi kit ujian kendiri, saya didapati positif COVID-19 untuk kali kedua.

"Saya juga buat ujian itu untuk kali kedua dan keputusannya tetap sama (sambil menunjukkan alat ujian itu yang bertanda dua garisan merah).

"Rasa sakit teramat dan saya betul-betul tidak larat. Simptom yang saya alami ini sama seperti simptom klasik COVID-19 yang pernah saya baca sebelum ini.

"Masa mula-mula kena, saya tidak ada batuk atau hidung berair. Tetapi kali ini, keadaannya sangat teruk," kata Aishah dalam perkongsian menerusi video di akaun Instagram peribadinya.

Lantaran sudah disahkan positif, Aishah dengan itu memohon kerjasama sesiapa sahaja yang pernah ditemui atau bekerja dengannya dalam tempoh waktu terdekat untuk melakukan ujian saringan.

"Kepada semua kru produksi yang terbabit dalam penggambaran muzik video Ketentuan Takdir dan petugas di pusat pemberian dos penggalak, saya harap anda semua dapat membuat pemeriksaan kerana menjadi kontak rapat saya," ujar Aishah.

Ketentuan Takdir merupakan single terbaharu penyanyi yang memulakan kariernya dengan kumpulan The Fan Club itu.

Berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan itu, Aishah menyifatkan, kesempatan ini diberikan oleh Allah untuk beliau berehat seketika selepas agak sibuk dengan jadual seni sebelum ini.

"COVID-19 ini peminat lagu Janji Manismu agaknya sebab asyik nak ikut saya sahaja. Tidak mengapalah, Allah nak suruh saya berehat. Dapatlah saya berehat untuk beberapa hari.

"Jaga diri dan saya harap anda semua dapat doakan saya dan mereka yang sedang bertarung dengan virus ini," katanya dalam hantaran yang berbeza.