KUALA LUMPUR: Aplikasi media sosial, Instagram dilaporkan terhenti seketika malam ini apabila sebilangan besar pengguna melaporkan akaun mereka telah dikunci.

Memetik laporan Independent, rata-rata pengguna tidak boleh mengakses akaun dan menerima mesej akaun mereka digantung.

Difahamkan, ia merupakan masalah teknikal yang dialami Instagram.

Isu tersebut menyebabkan pengguna keliru kerana aplikasi itu memaklumkan mereka telah melanggar peraturan dan akaun tidak dapat lagi diakses.

Menerusi Twitter, Instagram memaklumkan sedar dengan isu berkenaan namun tidak mengulas lanjut mengenai isu penggantungan akaun pengguna, namun difahamkan ia ada kaitan dengan kepincangan (bug).

Pihak Instagram juga tidak memberikan sebarang informasi sama ada isu ini dapat diselesaikan segera.

"Kami sedar bahawa sesetengah daripada anda menghadapi masalah mengakses akaun Instagram anda. Kami sedang menelitinya dan memohon maaf atas kesulitan ini,” kata jurucakap Instagram.