DUNIA hiburan Indonesia dikejutkan dengan berita aktor Iko Uwais didakwa memukul kontraktor hiasan dalaman yang pernah melakukan kerja dan memperindahkan kediamannya.

Iko yang cukup popular sebagai seorang pelakon aksi lagak termasuk membintangi filem Hollywood seperti "Mile 22" dan "The Raid" didakwa melakukan perbuatan tersebut bersama seorang lelaki yang dikenali sebagai Firmansyah.

Menurut laporan Kompas, Iko Uwais memukul kontraktor hiasan dalaman yang dikenali sebagai Rudi pada Sabtu lalu selepas terjadi ‘perang mulut’ di kediamannya.

Rudi mendakwa telah dipanggil Iko Uwais sewaktu melintas di hadapan rumah aktor tersebut.

“Setelah itu berlaku perang mulut. Iko Uwais dan Firmansyah terus memukul Rudi sehingga mengalami kecederaan.

"Rudi kemudian membuat laporan polis,” lapor media tersebut.

Lantaran dipukul dan cedera, Rudi telah membuat laporan di balai polis Bekasi dan pada hari sama, Iko Uwais juga telah datang ke balai sama atas laporan mencederakan seseorang.

Mengikut kronologi, Rudi telah lama menuntut sebahagian lagi bayaran yang belum dilunaskan Iko selepas menyudahkan kerja hiasan dalaman yang dibuat pada kediaman Iko dan isterinya, penyanyi Audi Item.

Bagaimanapun permintaan tersebut termasuk kiriman WhatsApp tidak pernah dibalas oleh bintang berusia 39 tahun tersebut.


*Artikel asal disiarkan di Gempak