PELAKON dan penerbit Hollywood, Alec Baldwin didakwa secara rasmi atas pertuduhan menembak mati seorang ahli sinematografi filem di set penggambaran pada Oktober 2021.

Halyna Hutchins meninggal dunia ketika penggambaran filem 'Rust' di Santa Fe, New Mexico selepas Balwin melepaskan tembakan daripada pistol prop semasa latihan diadakan.

Penyedia senjata untuk filem itu, Hannah Gutierrez-Reed juga didakwa pada Selasa atas pertuduhan membunuh tanpa niat.

Pihak pendakwa di New Mexico berkata mereka mempunyai bukti yang mencukupi untuk mendakwa Baldwin dan Gutierrez-Reed dengan pertuduhan jenayah atas kematian Hutchins.

Pertuduhan itu pertama kali diumumkan pada 19 Januari dan telah difailkan secara rasmi pada Selasa.

"Pada pandangan saya, tiada siapa boleh melangkaui undang-undang dan semua orang berhak mendapat keadilan," kata Peguam Daerah Sante Fe, Mary Carmack-Altwies.

Jika didapati bersalah, Baldwin dan Gutierrez-Reed boleh dipenjara selama 18 bulan dan didenda sebanyak AS$5,000 (RM21,329).

Hutchins meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital selepas terkena tembakan yang dilepaskan Baldwin di bahagian dada di set penggambaran di Bonanza Creek Ranch.

Sebelum ini Baldwin menegaskan dia tidak memetik picu pistol yang telah melepaskan peluru hidup serta meragut nyawa kru penggambaran filem 'Rust'.

Pelakon '30 Rock' itu juga telah memfailkan saman terhadap Gutierrez-Reed dan beberapa orang lain yang terlibat dalam filem berkenaan atas alasan mereka gagal memeriksa pistol berkenaan dengan teliti.