SEORANG terbunuh manakala seorang lagi cedera selepas terkena tembakan daripada set penggambaran di Santa Fe, Amerika Syarikat pada Khamis.

Jabatan Polis Santa Fe mengesahkan tembakan itu berpunca daripada pistol yang digunakan pelakon terkenal Hollywood Alec Baldwin semasa penggambaran filem terbaharunya Rust.

"Satu babak dalam filem ini melibatkan penggunaan senjata api.

"Siasatan kini dijalankan bagi menentukan bagaimana kejadian itu berlaku dan jenis peluru yang digunakan," katanya dalam satu kenyataan yang diperolehi Newsweek.

Mangsa maut dikenal pasti sebagai jurukamera Halyna Hutchins, 42, yang disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke Hospital Universiti New Mexico.

Pengarah filem, Joel Souza, 42, pula cedera dalam insiden itu dan kini menerima rawatan di Hospital Christus St Vincent.

"Kami telah merakam kenyataan Baldwin dan dia telah dibebaskan.

"Buat masa tiada tangkapan dibuat berhubung insiden berkenaan," kata polis memetik laporan Deadline.

Anggota polis dikerah kepada set penggambaran tersebut yang terletak di Bonanza Creek Ranch selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.50 petang waktu tempatan.

Set penggambaran kini ditutup selepas kejadian tersebut, lapor Deadline.

Pejabat New Mexico Film mengumumkan awal bulan ini penggambaran untuk filem Rust sedang berlangsung selepas terhenti susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia.

Filem berkenaan melibatkan seramai 75 kru, 22 pelakon dan 230 pelakon tambahan.

Rust, yang ditulis dan diarah oleh Joel Souza, memaparkan tentang seorang penjenayah dalam buruan Harland Rust dan cucunya yang berusia 13 tahun.

Baldwin memegang watak utama dalam filem tersebut manakala pelakon lain termasuk Jensen Ackles, Brady Noon, Frances Fisher dan Travis Fimmel.