"Allah hadirkan keajaiban di depan mata saya" - Shuib syukur perkembangan Siti Sarah

Saharudin Musthafa
Ogos 7, 2021 13:10 MYT
Perkembangan positif yang ditunjukkan Siti Sarah amat-amat menggembirakan Shuib kerana sebelum ini dia mengakui hampir putus asa terhadap keadaan isteri kesayangannya itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kesyukuran tidak henti-henti dipanjatkan pelawak dan usahawan Shuib Sepahtu apabila doktor memaklumkan keadaan isterinya, Siti Sarah Raisuddin semakin stabil.
Bahkan, perkembangan positif yang ditunjukkan Siti Sarah, 36, amat-amat menggembirakan Shuib kerana sebelum ini dia mengakui hampir putus asa terhadap keadaan isteri kesayangannya itu.
Menurut Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, setakat pukul 6 petang Sabtu, kadar oksigen Siti Sarah sudah mencecah paras 85 berbanding paling rendah sebanyak 40 pada pukul 11 malam Jumaat sedangkan kadar ideal oksigen bagi manusia ialah melebihi 95 peratus.
“Allah maha baik. Allah bantu saya dan Siti Sarah dengan memberikan rahmatNya, dihadirkan ramai orang berdoa, membaca Yassin dan mengadakan solat hajat tanya henti.
“Berkat kebaikan semua orang pada isteri saya itu, Allah hadirkan keajaiban buat saya. Keajaiban itu berlaku di depan mata saya. Saya amat-amat bersyukur dan menginsafi kebaikan Allah buat saya dan isteri,” kata Shuib ketika berkongsi perkembangan terkini Siti Sarah dalam sesi bacaan Yassin dan doa selamat menerusi aplikasi Zoom sebentar tadi yang disertai oleh 157 kenalan pasangan itu.
BACA: COVID-19: Siti Sarah kritikal, bacaan Yasin dan doa diadakan - Pengurus
BACA: Siti Sarah selamat lahirkan bayi keempat melalui pembedahan
Selepas berhari-hari melalui detik-detik yang sukar sehingga tidak lelap tidur serta hilang selera makan, Shuib mengakui, keajaiban yang Allah hadirkan dalam tempoh 24 jam lalu telah mengembalikan semangat serta senyumannya.
“Di sebalik uijan ada kemanisan yang Allah berikan. Saya sangat beremosi dan terlalu seronok melihat keprihatinan rakan-rakan kami yang saling berganti menghadiahkan bacaan Yassin, solat hajat serta doa yang tidak putus-putus buat Siti Sarah serta anak kami.
“Saya seperti mendapat semangat baharu. Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan buat Siti Sarah, hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya,” kata Shuib.
Siti Sarah yang popular dengan lagu Kesetiaan itu dikejarkan ke Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia pada Rabu lalu kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan selepas dijangkiti COVID-19.
Selain Siti Sarah, Shuib bersama tiga anak mereka Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.
Shuib dan anak-anaknya bagaimanapun, disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.
Berikutan Siti Sarah sedang hamil tujuh bulan, doktor telah mengeluarkan bayi dalam kandungannya sekitar pukul 5 petang Jumaat.
Anak keempat pasangan artis itu diberi nama Ayash Affan kini berada dalam keadaan stabil.
Kata Shuib, anak bongsu mereka itu masih ditempatkan di HCTM tetapi sudah mula menunjukkan perkembangan yang baik.
“Pada awalnya doktor maklumkan anak kami tidak bernafas dan tidak bergerak tetapi selepas memantaunya … sudah mula menunjukkan perkembangan, sudah mula menendang kaki dan menggenggam tangannya selain sudah membuka mata,” cerita Shuib dalam nada penuh syukur.
#Siti Sarah #Shuib #COVID-19 #Siti Sarah kritikal #Ayash Affan #Hospital Canselor Tunku Muhriz #Shuib Sepahtu