KUALA LUMPUR: Tercalon bersama-sama selebriti terkenal tanah air menerusi kategori Personaliti TV MeleTOP Anugerah Meletop Era 2021 (AME2021) merupakan satu kejutan buat personaliti Astro AWANI, Luqman Hariz.

Luqman, 32, beranggapan pencalonannya sedikit sebanyak memberi pengiktirafan kepada jalur penyampaian berita dalam warna-warni dunia penyiaran.

“Bagi saya melalui saya pencalonan ini sahaja telah melonjakkan nama dan signifikan pemberitaan dalam industri penyiaran tanah air.

“Kami juga ada kuasa, pengaruh dan tempat di hati rakyat Malaysia jadi pencalonan ini bukan sahaja untuk saya malah ia untuk Astro AWANI dan juga dunia berita,” katanya semasa sidang media AME2021 yang diadakan secara maya pada Selasa.

Meskipun sebelum ini 'anugerah popular' atau 'anugerah pilihan peminat' sering melibatkan selebriti tanah air, bagi Luqman, memasuki tahun 2022, perkara pencalonan dari latar kerjaya sepertinya bukan satu perkara yang mustahil atau luar biasa.

BACA: AME 2021 kembali, Luqman Hariz tercalon dalam kategori Personaliti TV Meletop


.

Selain Luqman, antara selebriti lain yang turut dicalonkan dalam kategori sama ialah Fiza Frizzy, Catriona Ross, Alif Satar, Jep Sepahtu dan pengacara Gempak TV, Isha Norsham.

Bukan sahaja Personaliti MeleTOP, AME 2021 turut memperkenalkan dua lagi kategori baharu iaitu BBNU MeleTOP dan Video MeleTOP yang merupakan antara 16 kategori yang dipertandingkan.

AME 2021 akan berlangsung Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan dipancarkan di saluran Astro Ria, Astro Ria HD serta Astro Go pada 30 Januari 2022.

Undian fasa pertama untuk memilih calon ‘Top 5’ boleh dihantar mulai 5 Oktober 2021, jam 6.00 petang hingga 19 November 2021, jam 6.00 petang menerusi laman rasmi www.anugerahmeletopera.com.my dan aplikasi SYOK.