PELAKON Ashraf Sinclair akui dia perlu menjalani latihan fizikal intensif sebelum menjalani penggambaran drama siri eksklusif Astro First, Dosa.

Ashraf Sinclair berkata dia dan pelakon lain perlu berlatih setiap hari selama sebulan kerana ia banyak membabitkan babak aksi dan seni silat termasuk menggunakan senjata.

"Terus-terang ia sangat mencabar kerana membabitkan 22 koreografi persilatan dan rasanya seperti berlakon dalam lapan filem.

"Saya turut menjalani latihan intensif selama sebulan sehingga berat badan juga turun dua kilogram ketika menjayakan drama ini.

"Bayangkan selama sebulan kami perlu berlatih setiap hari dari jam 4 petang hingga 9 malam.

"Ia sangat memenatkan, lebih-lebih lagi berlatih ketika bulan puasa," katanya kepada Astro Gempak.

Dosa arahan pengarah terkenal Indonesia, Ifa Isfansyah menampilkan kolaborasi pelakon hebat Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Selain Ashraf, drama ini turut dibintangi Datuk M Nasir, Remy Ishak, Hisyam Hamid, Shenty Feliziana, Reuben Elishama, Daniella Sya, Roy Marten, Maudy Koesnaedi, Hannah Al Rashid dan Tegar Satrya.

Selama menjalani latihan tersebut, Ashraf memberitahu dia kehilangan banyak kalori dan perlu mengambil jumlah makanan yang banyak.

"Saya hilang 5,000 kalori setiap hari dan untuk 'top up' kembali saya perlu ambil makanan yang sangat banyak seperti kebiasaannya.

"Saya makan nasi dengan banyak sekali setiap hari selain mengambil makanan tambahan protein untuk tenaga yang lebih.

"Selain itu, saya juga makan 'peanut butter' begitu sahaja setiap hari.

"Hasilnya badan saya jadi lebih kurus sedikit tetapi mempunyai otot dan 'six pax' di perut," katanya lagi.

Siri mini lapan episod berjudul Dosa ditayangkan platform digital on demand dan Astro Go serentak dengan tayangan di saluran Astro First bermula 14 Februari lalu.

Karya asal drama ini diilhamkan Ketua Unit Drama Premium & Filem Astro, Saniboey Mohd Ismail dan penulis skrip terkenal Indonesia, Salman Aristo.
Ia menggunakan khidmat Pengarah Koreografi handalan dari Indonesia, Cecep Arif Rahman.

Drama ini juga kerjasama antara Astro, Arie Zaharie Production dan Capitol Entertainment Production (Indonesia).

Foto: Instagram Dosa Mini Series
Teks oleh: Syafiqah Jalal