Astro raih trofi emas filem pendek di Asian Academy Creative Awards

Astro Awani
Disember 6, 2018 15:18 MYT
Terry Lian Kok Leong dari MEASAT Broadcast Network Systems menerima trofi emas bagi Rancangan Kandungan Pendek Terbaik.
MEASAT Broadcast Network Systems menerusi saluran Xuan, berjaya memenangi trofi emas Rancangan Kandungan Pendek Terbaik di Asian Academy Creative Awards 2018 (AACA), malam ini.
Drama pendek 'May I Love You' terbitan Black Poet Production itu menewaskan produksi negara-negara Asia lain yang bernaung di bawah jenama terkemuka seperti National Geographic, Cartoon Network dan Iflix.
Dalam pada itu, Kamarul Bahrin Haron dari Astro Awani yang merangkul trofi Penyampai Berita Terbaik menerusi program 'Malaysia Memilih' pada Oktober lalu, terpaksa akur dengan kemenangan dari pesaing hebat jenama antarabangsa CNN bagi kategori tersebut.
Trofi emas kategori 'Penyampai Berita Terbaik' dimenangi Kristie Lu Stout dari CNN Hong Kong.
Turut bersaing ialah Lin Xueling dari Channel NewsAsia (Singapura), Meiyang Chang dari Discovery Channel (India) dan Jessica Soho dari GMA Network (Filipina).
Astro mewakili Malaysia di kategori-kategori yang dipertandingkan, menentang barisan pemenang dari 15 buah negara lain bagi merebut trofi emas AAA di Singapura.
MEASAT Broadcast Network Systems merupakan salah satu syarikat di bawah kumpulan Astro.
Malam Anugerah Gala Akhir itu diadakan selama dua malam, iaitu pada 6 dan 7 Disember.
Anugerah ini diperkenalkan bagi memberi pengiktirafan serta meraikan kejayaan mereka yang terlibat secara langsung dalam industri kreatif dan produksi media.
#Asian Academy Creative Awards #Astro #Astro Awani #Black Poet Production #Kamarul Bahrin Haron #Malaysia Memilih #May I Love You #MEASAT Broadcast Network Systems #Xuan