KUALA LUMPUR: Sebagai meraikan sejarah kegemilangan industri perfileman Melayu yang sudah berdekad usianya, Astro bakal menayangkan sebanyak 33 buah naskhah Melayu klasik bermula bulan ini.

Bekerjasama dengan I.E. Entertainment yang berpusat di Singapura, kesemua 33 filem Melayu klasik itu diterbitkan oleh syarikat perfileman hebat, Cathay-Keris Films.

Menurut Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, Astro amat berbesar hati dan teruja dapat bekerjasama bersama Cathay-Keris Films menerusi syarikat pengedarnya di rantau Asia, I.E. Entertainment dalam membawakan 33 filem Melayu klasik terbaik untuk dipersembahkan kepada penonton Malaysia dan Brunei menerusi platform Astro.

Beliau berkata, kesemua filem tersebut akan ditayangkan semula setelah lebih 10 tahun tidak dipertontonkan di mana-mana platform televisyen berbayar Malaysia.

“Kami percaya nilai hiburan di dalam 33 filem ini pasti akan mengubati rindu penonton dengan karya-karya yang pernah mengecapi kegemilangan suatu ketika dahulu serta dalam pada yang sama memperkenalkan kepada generasi baru kepada filem melayu klasik.

“Lebih istimewa lagi, filem-filem ini juga adalah sebagai tanda penghargaan buat barisan penerbit serta produksi gergasi dan nama-nama besar yang pernah mewarnai industri perfileman Melayu seperti Nordin Ahmad, Latifah Omar, Datin Umi Kalsom, Mat Sentul dan ramai lagi.

“Kami harap inisiatif ini mampu membuatkan karya-karya seni tempatan sentiasa dihargai dan tidak lapuk ditelan zaman,” kata Raja Jastina dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.



Kesemua 33 filem Melayu klasik  itu akan ditayangkan di saluran Astro Citra dan Astro Prima serta platform penstriman OTT, Astro Go dan On Demand mulai bulan ini.

Filem-filem yang menjadi pilihan ialah seperti Pontianak Gua Musang, Sumpah Pontianak, Jula Juli Bintang Tiga, Tunang Pak Dukun, Dang Anom dan Chuchu Datuk Merah.

Karya-karya hebat yang mula ditayangkan kepada umum sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an itu mengangkat kisah dan jalan cerita yang amat dekat dengan masyarakat Melayu Malaysia dan Singapura seperti mengetengahkan tradisi dan muzik serta mencerminkan nilai sosial ketika di era itu.

Sementara itu, pengasas bersama I.E. Entertainment, Indra Suharjono berkata, pihaknya sangat gembira serta berbesar hati berpelung bekerjasama dengan Astro dalam mempersembahkan filem klasik Melayu di Malaysia dan Brunei menerusi platform Astro.

“Kami percaya Astro adalah rakan kerjasama terbaik dalam mengembalikan nostalgia filem klasik Melayu daripada arkib CathayKeris Films kepada penonton muda yang akan menontonnya buat pertama kali sekali gus melihat bagaimana pembikinan filem yang telah berkembang selama bertahun-tahun.

“Ini adalah cara yang baik untuk mengenali filem, era, dialek, trend fesyen, gaya dan proses pembikinan karya Melayu,” jelas Indra.