Bunga Citra Lestari trauma tidur di bilik selepas pemergian Ashraf Sinclair

Sahlizah Mohamed
Februari 21, 2020 04:34 MYT
Bunga Citra Lestari akui trauma untuk tidur di bilik tidurnya selepas pemergian suami tersayang, Ashraf Sinclair.
Pelakon Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) akui trauma untuk tidur di bilik tidurnya selepas pemergian suami tersayang, Ashraf Sinclair pada 18 Februari lalu.
Ibu kepada Noah Aidan itu mendedahkan kesukaran yang dialami kepada sahabat karibnya, Aming.
Menurut Aming, BCL turut menyatakan ketakutan untuk tidur seorang diri di dalam bilik dia dan Ashraf.
“Ming, saya takut untuk tidur di dalam bilik..saya tak akan tidur di dalam bilik itu lagi,” kata BCL kepada Aming berkali-kali.
BCL turut memberitahu kejadian yang berlaku kepada suaminya di dalam bilik mereka sebelum Ashraf disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas itu.
BACA: Jenazah Ashraf Sinclair dikebumi di Sandiego Hills
BACA: "Hidup ini fragile" - Nasihat Ashraf Sinclair kepada Nash Idrus
BACA: "Bunga, terima kasih kerana mencintai anak saya" - Bapa Ashraf Sinclair
BACA: 'Kamu nampak sangat tenang & indah' - Sazzy Falak ke Jakarta, 'jumpa' Ashraf Sinclair kali terakhir
“BCL hanya meninggalkan Ashraf dalam waktu yang singkat untuk membersihkan dirinya. Sebaik kembali ke bilik, Ashraf sudah tidak bergerak dan mulutnya berbuih,” kata Aming.
BCL atau lebih dikenali dengan jolokan Unge dalam kalangan rakan-rakan terus membawa Ashraf ke Metropolitan Medical Centre (MMC), namun Ashraf gagal diselamatkan.
“Sebelum kejadian, mereka berdua sempat bergurau dan berbual-bual. Kini BCL hanya berehat dan tidur di sebuah bilik lain di rumahnya,” jelas Aming.
Terdahulu, berita pemergian Ashraf mengejutkan industri hiburan di Malaysia dan Indonesia.
Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohammed Sinclair lahir di London, England pada 18 September 1979.
Beliau mengahwini penyanyi Bunga Citra Lestari pada 2008.
Allahyarham juga merupakan abang kepada penyampai radio Mix FM dan pelakon Aishah Sinclair, 39.
#Ashraf Sinclair #BCL #Bunga Cinta Lestari #Bunga Citra Lestari #England #hiburan #Indonesia #Malaysia #meninggal dunia