PIHAK produksi Big Stage 2023 menafikan minggu tanpa penyingkiran adalah untuk menyelamatkan kumpulan COEX daripada tersingkir dalam program hiburan tersebut.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari, minggu tanpa penyingkiran memang sudah ada dalam perancangan produksi dan ia minggu bertenang untuk semua peserta dalam menghadapi minggu-minggu mendatang.

“Kenapa tiada penyingkiran? Kerana kami berasakan setiap season perlu ada break supaya mereka akan kembali dengan semangat baharu untuk minggu depan.

“Kalau nak cakap kami pilih untuk selamatkan COEX, juri pun ada kuasa untuk gunakan imuniti X.

"Jadi sebenarnya minggu tanpa penyingkiran ini memang sudah ada dalam perancangan kami,” kata Idlan kepada media.




Ditanya mengenai adakah penyingkiran berganda dilaksanakan minggu depan, Idlan tidak mahu mengesahkan apa-apa dan meminta untuk semua menantikan kejutan demi kejutan yang akan dilaksanakan.

Kumpulan COEX yang terdiri daripada Mikaela Qistina, Amy Loh, Dalini, Eyqa Shahidan dan Elysha Khan hanya mendapat 41.67 markah keseluruhan selepas menyampaikan lagu G.I.G nyanyian asal kumpulan Elite.

Selain COEX, Farhan Shah (46.67) dan Firdaus Rahmat (47.00) juga turut berada di tangga tiga terbawah namun selamat.

Kumpulan COEX yang terdiri daripada Mikaela Qistina, Amy Loh, Dalini, Eyqa Shahidan dan Elysha Khan hanya mendapat 41.67 markah keseluruhan selepas menyampaikan lagu G.I.G nyanyian asal kumpulan Elite.
Minggu tanpa penyingkiran seharusnya dijadikan wake-up call untuk semua peserta Big Stage musim kelima agar menjadi lebih baik untuk minggu akan datang.

Setiap peserta harus mencari kembali rentak mereka dan juga mengamati semua komen yang telah diberikan sepanjang lima minggu berentap di pentas Big Stage 2023.

Bagi tugasan minggu keenam, kesemua peserta akan membawakan lagu bertemakan “Wow Wa What’s next”.

Peserta Big Stage diadili oleh dua juri tetap iaitu Ajai dan Aina Abdul.

Big Stage 2023 dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose dan bersiaran secara langsung selama 10 minggu di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9 malam serta dipancarkan terus menerusi saluran Astro Ria.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, Big Stage 5 juga boleh distrim di aplikasi Astro Go.