SHAH ALAM: Minggu lepas, juri tetap Big Stage, Aina Abdul dan Ajai sebulat suara menggunakan Imuniti X untuk menyelamatkan peserta, Naufal Azrin, daripada penyingkiran.

Namun, peluang kedua yang diberikan tidak digunakan sebaiknya sehingga Aina Abdul setuju bahawa Naufal seharusnya duduk di tangga tiga terbawah.

“Saya memang setuju dia dalam bottom 3 dan kami tak guna Imuniti X minggu ini sebab cabaran yang kami bagi kepada dia minggu lepas tak digunakan sebaiknya,

“Dia adalah artis rakaman, dia mempunyai tone yang sedap, mempunyai suara marketing yang sedap untuk lagu-lagu di luar sana, tetapi untuk pertandingan, saya rasa dia ada sedikit halangan.

Pada masa sama, Aina turut melahirkan kekesalan kerana Naufal mempunyai kualiti sebagai seorang penyanyi namun jika dibandingkan dengan Meer Nash dan Coex di pentas Big Stage, dia agak ketinggalan.

Oleh sebab itu, Aina sudah menjangkakan bahawa peserta yang popular dengan lagu Casablanca itu akan terkeluar pada minggu ini.

“Mula-mula, ia antara Naufal atau Meer Nash. Saya tak nampak untuk Coex terkeluar. Bagi saya, sayang kalau Coex terkeluar sekarang, baru minggu ini mereka dapat tunjuk vokal mereka,

“Saya ralat, sebab tone suara Naufal sangat mahal. Dia boleh buat semua orang rasa cair tetapi persembahan (malam) tadi tak cukup. Dan kalau nak dibandingkan, peningkatan Meer Nash dan Coex lebih banyak berbanding Naufal.

“Tetapi macam Naufal, minggu lepas kita dah bagi peluang. Kalau minggu ini kita bagi peluang lagi, kita akan dibenci oleh netizen,” seloroh Aina.

Selain Aina dan Ajai, peserta Big Stage diadili dua juri jemputan minggu ini, iaitu Mierul Aiman (Presiden Netizen), dan Ernie Zakri.

Big Stage 2023 bersiaran secara langsung selama 10 minggu di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9 malam dan dipancarkan terus menerusi saluran Astro Ria.