'Bila-bila masa saja, bila Tuhan tiup hidayah' - Uqasha ditanya tentang pakai tudung

Gempak
Februari 22, 2019 01:40 MYT
Uqasha mengambil keputusan untuk membuka tudung pada Ogos 2016 selepas tiga tahun berhijab. - Astro GEMPAK
PELAKON Uqasha Senrose enggan tersilap langkah lagi dalam membuat keputusan hingga boleh membuka ruang untuk orang berkata buruk mengenainya.
Pernah melewati fasa penghijrahan (bertudung) sepanjang bergelar anak seni dan pernah jua mencetuskan kontroversi gara-gara membuka tudung semula, Uqasha akui itu khilafnya.
"Saya pernah tak bertudung, bertudung dan tak bertudung semula. Kalau boleh saya tak nak buat keputusan drastik yang dapat membuat orang bercakap buruk lagi mengenai saya.
"Kita tahu bertudung untuk apa, itu antara saya dan Tuhan. Bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang luar.
"Selepas ini, sebelum membuat apa-apa keputusan saya perlu berfikir panjang! Bukan pakai tudung kerana sesuatu situasi atau seseorang, saya nak perbuatan itu ikhlas daripada hati.
"Saya nak seiring. Tak nak pula nanti pakai tudung tapi perbuatan tak mencerminkan imej," katanya kepada Gempak.
Tambah pelakon filem Hantu Kak Limah itu, dia lebih selesa dengan imej sekarang namun bersedia seandainya ditiupkan hidayah Allah.
"Saya pakai tudung kononnya kerana situasi sedih, kebetulan ketika itu masih muda dan membuat keputusan terburu-buru.
"Kalau suatu hari nanti saya di landasan yang betul, mahu menambah kebaikan dengan bertudung, insya-Allah.
"Cuma sekarang ini, saya selesa dengan imej begini dahulu. Apabila Tuhan nak tiupkan hidayah pada kita, bila-bila masa saja," jelasnya.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 27, mengambil keputusan untuk membuka tudung pada Ogos 2016 selepas tiga tahun berhijab.
#anak seni #berhijrah #hidayah #imej #pelakon #tudung #Uqasha Senrose