KUALA LUMPUR: Bintang legenda, Datin Paduka Julie Sudiro menghembuskan nafas terakhir pada usia 77 tahun akibat masalah paru-paru.

Berita pemergian penyanyi jazz terkemuka ini dikongsikan anak lelakinya Rindra Soliano kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Allahyarham Julie meninggal dunia di Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Puncak Alam di Shah Alam.

Pengurusan jenazah akan diadakan di Masjid Darul Ehsan, SS15 Subang Jaya pada jam 10.30 pagi ini.

Jenazah akan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya. 

Pada 9 Januari lalu, Astro AWANI melaporkan penyanyi legenda itu ditidurkan di hospital yang sama, akibat masalah paru-paru.

Astro AWANI sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut tentang urusan pengebumian jenazah Allahyarham Julie.

Allahyarham Julie bukan satu nama asing dalam persada seni tanah air dan dikenali dengan lagu popular berjudul, 'Burong Nuri' yang dirakamkan bersama Allahyarham Ahmad Mahmud dan penyanyi keroncong, Kartina Dahari.

Julie atau nama sebenarnya Raden Juariah Raden Sudiro dilahirkan pada 26 Februari 1945 di Segamat, Johor Bahru dan dibesarkan di Singapura.

Beliau dikurniakan dua anak lelaki iaitu Rindra dan Jose Irmanto, hasil perkahwinan bersama arwah suaminya, Tony Soliano yang merupakan pemuzik jazz handalan.

Pada 2006, beliau mendapat gelaran Datin Paduka daripada Sultan Johor yang memerintah pada ketika itu iaitu Almarhum Sultan Mahmud Iskandar Al-Haj.