PENYANYI Amerika kelahiran Hong Kong, Coco Lee meninggal dunia pada usia 48 tahun pada Rabu.

Dalam satu catatan di media sosial, kakaknya Nancy Lee berkata, penyanyi popular itu yang mengalami masalah kemurungan, menghembuskan nafas terakhir selepas tiga hari berada dalam keadaan koma.

“Dengan kesedihan yang mendalam, kami di sini untuk menyampaikan berita paling menyedihkan. Coco bertarung dengan masalah kemurungan selama beberapa tahun tetapi keadaannya merosot secara drastik sejak beberapa bulan lalu.

“Walaupun Coco mendapatkan bantuan profesional dan melakukan yang terbaik untuk melawan kemurungan, malangnya dia tidak berjaya.

"Pada 2 Julai, dia cuba membunuh diri di rumah dan dihantar ke hospital. Walaupun pasukan perubatan berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan, Coco meninggal dunia pada 5 Julai 2023,” tulis Nancy.

Kerjaya Lee bermula di negara kelahirannya, Hong Kong, sebelum berkembang ke Taiwan. Beliau antara bintang pop Asia terawal mencipta nama di Amerika Syarikat apabila singlenya, "Do You Want My Love" berjaya memasuki carta muzik AS.

Lee juga dipilih Walt Disney Pictures untuk menyanyikan salah satu versi lagu tema filem Mulan, "Reflection", selain turut menjadi pelakon suara watak Fa Mulan versi Mandarin.

Pada Anugerah Akademi ke 72, Lee dijemput mempersembahkan salah satu calon kategori Lagu Asal Terbaik, "A Love Before Time" yang dipetik daripada filem Crouching Tiger, Hidden Dragon.



Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-76272929 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma.



Befrienders