Pandemik COVID-19 telah merosakkan perniagaan hiburan dan krisis ini telah menimbulkan cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya kepada industri filem dan televisyen.

Negara-negara Eropah segera bertindak dengan memperkenalkan langkah-langkah untuk membantu pekerja dan syarikat penerbitan yang terjejas akibat COVID-19 dan Langkah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan.

The Hollywood Reporter melaporkan negara-negara Eropah telah mengumumkan beberapa program khusus yang mensasarkan industri perfileman dan televisyen.

Bagi pengarah filem, U-Wei Haji Saari, ketika seluruh dunia terkesan dengan pandemik COVID-19, ia merupakan masa untuk reboot atau reset nilai sinema negara.

Selain bantuan kerajaan, U-Wei berpendapat pihak yang perlu memainkan peranan selepas ini adalah stesen televisyen dan pawagam.

"Secara makronya selain bantuan dari kerajaan (baca Finas) dua entiti yang sangat boleh menolong adalah stesen televisyen dan pawagam.

"Mereka yang mengawal fasa terakhir iaitu tayangan. Jika dilihat selama ini adakah ada indikasi yang mereka menolong menaikan taraf perfileman kita?" katanya kepada Astro AWANI.

Pengarah dan pelakon, Sabri Yunus pula berpendapat, kerajaan memainkan peranan penting membangun semula industri ini yang terjejas teruk.

Menurut pengarah kelahiran Kelantan itu, kerajaan bukan hanya perlu melihat dari sudut ekonomi semata-mata tetapi harus juga meneliti peranan filem dan drama untuk masyarakat dan negara.

"Kerajaaan harus ambil peluang ini untuk memperbaiki industri filem dan drama dengan menilai semula yang telah lepas dan mulakan sesuatu yang baru dalam semua hal.

"Kerajaan perlu melihat peranan filem dan drama sebagai wadah membangunkan jati diri bukan semata-mata hiburan untuk kelompok tertentu," katanya.

Sabri mengambil contoh Jepun yang terkesan teruk ketika perang dunia kedua namun bangkit kembali bukan sahaja dari segi ekonomi dan teknologi tetapi juga dalam bidang seni serta budaya.

Manakala bagi pengarah filem Al-Jafree Md Yusop pulak berkata langkah drastik seperti yang diumumkan oleh badan pembangunan filem di eropah perlu dicontohi.

Katanya, selepas lebih 20 hari Perintah Kawalan Pergerakan belum ada sebarang pengumuman dibuat oleh Finas untuk membantu mereka yang terlibat dalam industri filem dan drama.

"Kalau tengok di Eropah hampir semua badan pembangunan filem seperti CNC di Peranchis, Federal Film Board di Jerman, Austrian Film Institute dan banyak lagi dengan pantasnya mengumumkan langkah drastikc seperti emergency fund dan beberapa faedah lain.

"Itu yang kita harapkan dari Finas namun setakat ini tiada langkah drastik serta peruntukan khas ketika kala darurat ini," katanya.

Baru-baru ini pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac mengajak rakyat Malaysia menyalakan lampu melalui telefon genggam tepat jam 9 malam 3 Mac sebagai penghargaan simbolik kepada petugas barisan hadapan yang berjuang melawan penularan wabak COVID-19.