KUALA LUMPUR: Kapten Adib dan Mejar Adnan bersama skuad PASKAU terperangkap di Namburi iaitu sebuah negara bergolak selepas pesawat mereka ditembak jatuh pengganas.

Demi menyelamatkan wira dan wirawati negara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjalankan misi menyelamatkan mereka.

Zafran, abang ipar kepada Adib (Aiman) dan juga seorang juruterbang pesawat TUDM Sukhoi berusaha untuk menyelamatkan mereka.

Anggota PASKAU dalam latihan mereka turut ditonjolkan dalam filem Airforce The Movie Selagi Bernyawa. Gambar: Astro AWANI

Demi keselamatan bersama, mereka harus berkorban dan berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Apakah halangan yang menanti mereka? Ikuti filem aksi terbaharu Airforce The Movie: Selagi Masih Bernyawa yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 25 Ogos ini.

Menurut Pengerusi Multimedia Group selaku wakil pihak penerbit, Tan Sri Khalid Abu Bakar, filem tersebut dijangka membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini.

"Pihak penerbit amat teruja untuk mempersembahkan sebuah filem yang epik ini untuk membangkitkan semangat patriotisme sempena sambutan perayaan Hari Kebangsaan yang ke-65," jelasnya.

Turut digunakan aset TUDM dalam pembikinan filem Airforce The Movie Selagi Bernyawa. Gambar: Astro AWANI

Sementara itu, bagi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, filem dengan kerjasama ATM itu dijangka memberi pengalaman berbeza buat penonton. 

"Airforce The Movie bukan sekadar filem yang menawarkan babak aksi semata-mata untuk menagih pujian penonton.

"Setiap babak ketenteraan telah dibincangkan bersama agar tidak mengecewakan dan ini antara salah satu faktor yang membuatkan filem ini boleh dikatakan sebagai salah sebuah filem aksi drama tempatan yang terbaik untuk tahun 2022," katanya.

Filem berkenaan dihasilkan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama lima syarikat penerbitan gergasi iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro, FXHammer Films dan SixFun Media.

Dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Sara Ali dan Nas-T, Airforce The Movie Selagi Bernyawa bakal menjanjikan babak aksi terhebat tahun ini. Gambar: Astro AWANI

Dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Aiman Hakim Redza, Nas-T, Sara Ali, Pablo Amirul dan Johan As'ari, filem aksi itu bakal menjanjikan satu pengalaman baharu penonton mengenai tugasan anggota ATM dan TUDM.

Majlis pelancaran Airforce The Movie berlangsung di Pangkalan Udara Subang pada Khamis.

Turut hadir di majlis tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia, Datuk Steven Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Golden Screen Cinemas, Koh Mei Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan, Pengarah FXHammer Films, Frank See dan Ketua Pegawai Eksekutif SixFun Media, KC Hoe.