UMUM sedia maklum persahabatan di antara pelakon, Fazura dan pasangan pereka fesyen terkenal Rizman dan Ruzaini sangat akrab seperti adik-beradik.

Namun timbul beberapa dakwaan yang mengatakan hubungan persahabatan di antara mereka mula renggang sejak kebelakangan itu.

Rizman membidas dakwaan itu dan menyatakan hubungannya bersama aktres itu tiada sebarang masalah, hanya sedikit renggang disebabkan komitmen kerja yang semakin bertambah.

“Apa yang saya boleh katakan, dulu kami rapat dan kerap keluar bersama kerana saya masih bujang ketika itu.

“Namun, apabila sekarang saya sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, komitmen kami bertambah dan kami sangatlah sibuk sehingga tiada masa untuk berjumpa.

“Jadi saya kira kami tiada masalah pun, sebaliknya saya bangga dengan kejayaan beliau yang kini sedang sibuk mengembangkan perniagaan jenamanya sendiri.

“Saya hanya berdoa dari jauh dan menumpang gembira di atas pencapaianya,” kata Rizman.

Sementara itu, rakan seperjuangannya Ruzaini akui sedar tentang isu yang dibualkan netizen berkenaan hubungan  persahabatan mereka dan menganggap netizen telah menyalah erti.

“Memang betul, bila sudah berkahwin sangatlah berbeza, waktu kami bujang dulu lain dan bila memasuki fasa keluarga sudah menjadi lain.

“Mungkin netizen terlalu triggered kerana kami sudah tidak lama keluar bersama sehingga menganggap kami bergaduh dan bermasam muka,” tambah Ruzaini.

Terdahulu, kecoh seketika apabila netizen mendakwa hubungan Fazura dan Rizman serta Ruzaini renggang disebabkan aktres berkenaan tidak muncul di beberapa majlis yang melibatkan pereka fesyen itu seperti KL Fashion Week dan majlis lain yang dianjurkan Rizman dan Ruzaini.

Rizman dan Ruzaini ditemui ketika majlis ulang tahun pertama RR Mono Scarves di Pop Up Store RR Hijab berdekatan Pavilion Kuala Lumpur pada Sabtu yang lalu.

* Artikel asal disiarkan di Gempak