Penyanyi antarabangsa, Taylor Swift telah menyumbangkan wang sebanyak AS $250,000 (RM1 juta) kepada penyanyi Kesha selepas makhamah memutuskan untuk tidak membebaskan dia daripada kontraknya bersama sebuah label di bawah syarikat rakaman gergasi, Sony.

Tindakan ini adalah sebagai sebahagian daripada pergerakkan para selebriti untuk menunjukkan sokongan kepada Kesha.

Menerusi satu kenyataan media, seorang jurucakap Taylor, Tree Paine berkata penyanyi berusia 26 tahun itu telah menyumbangkan wang sebanyak AS $ 250,000 kepada Kesha untuk membantu beliau dari segi kewangan pada masa yang sukar sebegini.

Menurut laporan portal E! Online, ibu Kesha turut mengesahkan perkara ini menerusi satu kenyataan di akaun Twitternya.

“Taylor Swift dengan murah hati menyumbang wang sebanyak AS $250,000 kepada Kesha, sebagai tanda sokongan pada masa sukar ini. Menakjubkan!”

Sebelum ini, rakan selebriti seperti Kelly Clarkson, Ariana Grande, Lorde dan Demi Lovoto turut menyuarakan sokongan mereka terhadap Kesha di media sosial.




Pada Jumaat lalu, keputusan mahkamah untuk tidak membebaskan Kesha daripada kontrak Sony mencetuskan kemarahan orang ramai.

Ia berikutan kes mahkamah antara Kesha dan penerbit muzik, Lukasz Sebastain atas kes gangguan fizikal dan seksual.